(10 Gambar) Wanita maut dirempuh 4×4 ketika hantar anak ke sekolah

2 anak mangsa cedera parah dan dalam sekelip mata kehilangan ibu buat selama-lamanya.


Dungun: Seorang ibu berusia 37 tahun maut, manakala anaknya berusia lapan tahun kritikal selepas motosikal mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 71.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pulai Serai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 6.55 pagi itu, Juzalina Johari, 37, yang berasal dari rumah murah Pulau Serai meninggal dunia di tempat kejadian.
Nur Effy Elysha Azmi Sham kritikal, manakala seorang lagi anaknya, Muhammad Shah Ikhwan, 11, cedera ringan.


Mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar kedua-dua anaknya itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Serai.


Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah pacuan empat roda dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dikatakan terbabas sebelum merempuh motosikal mangsa.


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -METRO



Mayat Juzalina ditutup dengan kain selepas dirempuh kenderaan Isuzu D-Max di Kilometer 71.6 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun semalam.


MOTOSIKAL jenis Honda yang dinaiki mangsa.










KENDERAAN pacuan empat roda jenis Isuzu D- Max yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang ibu yang dalam perjalanan menghantar dua orang anaknya ke sekolah di Kampung Pulau Serai, Dungun, Terengganu, semalam .






Wanita maut dirempuh pacuan empat roda

Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 71.6, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, di Dungun hari ini.

Dalam kejadian 7.05 pagi itu, Juzalina Johari, 37, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, ibu kepada empat cahaya mata ini dalam perjalanan menghantar dua anaknya Nur Effy Elysha Azmi Sham, 8, dan Muhammad Shah Ikhwan Azmi Sham, 12, yang menuntut di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang dipandu pemuda berusia 23 tahun dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki 3 beranak tersebut.

Susulan rempuhan tersebut mengakibatkan murid perempuan darjah dua itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki manakala abangnya hanya cedera ringan pada bahagian tangan.

Pemandu kenderaan empat roda itu yang berasal dari Kampung Seberang Baruh Kiri, Kuala Terengganu turut mengalami kecederaan di bahagian dada dan bahu.

Bapa mertua mangsa Mahmad Jusoh, 61, berkata menantunya itu telah berjanji untuk menemaninya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Dungun hari ini.

“Semalam mereka sekeluarga datang berbuka puasa di rumah kami di Kampung Seberang Pintasan dan sempat menyediakan ikan bakar sebagai juadah berbuka. Sebelum pulang ke rumahnya dia berpesan untuk menjemput saya pada 7.30 pagi.

“Pagi tadi saya tunggu dia sampai 7.40 namun tidak muncul-muncul sebelum adik saya datang ke rumah dan memaklumkan menantu dan cucu saya terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Dungun.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan insiden tersebut.

Katanya mayat mangsa yang berasal dari Pulau Serai itu dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala kesemua mangsa yang cedera juga turut menerima rawatan di hospital sama.

“Anak perempuan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kerana kecederaan parah bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment