Terjun Dari Perancah (MRT) Selepas Terbabit Kemalangan
ENTAH apa sebabnya, seorang lelaki yang terlibat dengan kemalangan telah memilih untuk menamatkan riwayat dengan menerjun dari perancah projek Mass Rapid Transit (MRT).
Insiden yang mengejutkan itu dipercayai berlaku di Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Duta) pada jam 11 pagi semalam.
Menurut laporan, kereta yang dipandu oleh lelaki yang berusi 30-an itu terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan lain sebelum kedua-dua pemandu keluar untuk berbincang.
Melalui keterangan pemandu yang dilanggar oleh mangsa yang hanya dikenali sebagai Ong, mangsa secara tiba-tiba memanjat besi perancah MRT dan melompat dari ketinggian empat tingkat.
“Seorang lelaki melanggar kereta saya dari belakang jadi saya keluar untuk periksa”, katanya memetik laporan dari TheStar Online.
Menurut Ong lagi, lelaki terbabit pada mulanya enggan keluar dari keretanya dan cuba untuk lari tetapi enjin keretanya tidak boleh dihidupkan.
“Selepas beberapa ketika, dia berputus asa, keluar dari keretanya dan memberi kad pengenalannya kepada saya dan menyuruh saya membuat tuntutan insuran”, kata Ong.
Lelaki tersebut kemudiannya berjalan kearah tapak pembinaan MRT berdekatan dan memanjat perancah sebelum terjun.
“Saya tidak menyangka perkara itu terjadi. Tapi dia kelihatan tertekan”, kata Ong lagi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, mayat sudah dihantar untuk bedah siasat.
-MYNEWSHUB.CC
0 comments:
Post a Comment